My Blog List

Friday, October 10, 2008

Hindraf cabar buktikan mereka biadap

Hindraf cabar buktikan mereka biadap
Oct 10, 08 12:25pm

Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) mencabar menteri dalam negeri dan TV3 menyiarkan rakaman lengkap rumah terbuka Aidilfitri perdana menteri yang menunjukkan penyokong mereka biadap.

Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy juga mengecam Datuk Seri Syed Hamid Albar, stesen televisyen itu dan Utusan Malaysia berhubung laporan mereka yang mendakwa sedemikian.

Beliau, yang juga adik seorang lagi tokoh gerakan tersebut P Uthayakumar yang kini ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mendakwa dua media itu "sengaja mengapi-apikan semangat perkauman" terhadap Hindraf. 

"Sekiranya benar tohmahan-tohmahan mereka, mengapa mereka tidak berani menayangkan gambar dan klip yang kononnya penyokong Hindraf bersikap biadap dan kurang ajar," katanya.
 
"Sebaliknya kami mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan yang perdana menteri, timbalan beliau dan ramai lagi menteri-menteri kabinet yang senyum panjang dan menerima salamam penyokong Hindraf dengan hati terbuka dengan semangat maaf zahir dan batin."

Waythamoorthy mengakui penyokong Hindraf merayu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar membebaskan lima pemimpin gerakan itu yang kini meringkuk di kem tahanan Kamunting, Taiping sejak Disember lepas.

"Apakah rayuan ini boleh dianggap mencemar agama Islam? Motif Utusan dan TV3 mengapikan sentimen perkauman dan agama harus dikutuk oleh semua lapisan masyarakat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan. 

Menurutnya, yang kini berada di London, dalam satu perjumpaan Hindraf dengan setiausaha Abdullah seminggu sebelum majlis berkenaan, mereka dimaklumkan bahawa perdana menteri "tiada bantahan" atas kunjungan mereka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). 

"Seramai lebih 500 orang penyokong Hindraf menghadiri majlis tersebut tetapi kurang daripada 50 penyokong dibenarkan bersalaman dengan perdana menteri. 

"Kami datang dengan niat ikhlas dengan semangat maaf zahir batin, di samping merayu supaya perdana menteri membebaskan semua tahanan ISA di hari mulia ini," katanya.

No comments: