My Blog List

Thursday, September 4, 2008

Dr Osman tampil pertahan laporan kes liwat Anwar


Dr Mohd Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi yang memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan, muncul hari ini untuk mempertahankan hasil pemeriksaannya yang tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan Mohd Saiful telah diliwat.

Dr Osman telah mengambil cuti lebih sebulan lalu selepas kebocoran laporan perubatannya ke atas Saiful itu, pada 28 Julai lalu.

Doktor tersebut, yang ditemani peguamnya - M Puravelan dan Yusri Kamaruddin - mengadakan sidang akhbar di Majlis Peguam pada jam 12 tengahari ini.

Beliau mengesahkan bahawa akuan berkanunnya, yang disiarkan oleh Malaysia Today memang ditandatanganinya.

"Saya tidak terbabit dalam politik, saya akan sentiasa bercakap benar," kata Dr Osman yang kelihatan agak gementar.

Dalam akuan bersumpahnya, Dr Osman mempertahankan laporan perubatannya itu di mana beliau tidak menemui sebarang kesan liwat selepas memeriksa dubur Saiful.

Saiful telah mendakwa dia telah diliwat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lalu.

Anwar kemudiannya didakwa di mahkamah atas tuduhan tersebut beberapa minggu kemudiannya.

Dr Osman berkata, beliau mengadakan sidang akhbar hari ini untuk membersihkan namanya.

Beliau yang membaca kenyataannya berkata, beliau mengambil cuti kerana beliau merasa tertekan ekoran siasatan polis terhadap pemeriksaan perubatannya ke atas Saiful.

Dr Osman juga berkata, beliau tidak tahu bagaimana laporan perubatannya ke atas Saiful diketahui umum.

Ditanya sama ada beliau masih lagi berkhidmat dengan Pusrawi, Dr Osman berkata, beliau akan kembali bertugas secepat mungkin.

Dr Osman juga menafikan dakwaan bahawa beliau bimbang terhadap keselamatan dirinya.

Di bawah adalah kenyataan akhbar Dr Osman yang dibacanya pagi tadi (terjemahan).

Saya adalah doktor yang mengesahkan akuan berkanun bertarikh 1 Ogos 2008.

Saya telah membaca akuan berkanun yang telah disiarkan di laman web Malaysia Today. Saya mengesahkan bahawa ia adalah salinan asli akuan berkanun saya. Saya kini mengesahkan bahawa kandungan akuan berkanun itu adalah benar.

Saya telah pergi bercuti. Saya merasa amat tertekan. Saya kini telah kembali ke Malaysia. Terdapat banyak kenyataan media di Malaysia yang dibuat oleh pelbagai individu.

Sesetengah daripada kenyataan tersebut telah memberi gambaran buruk terhadap profesyen dan diri saya. Saya ingin memberi jaminan bahawa saya hanyalah menjalankan tugas saya sebagai seorang doktor. Saya tidak terbabit dalam politik. Saya sentiasa akan bercakap benar.

Saya tidak pernah pada bila-bila masa pun melanggar etika profesional saya. Saya sentiasa mengamalkan kerahsian antara doktor dan pesakit.

Tazkirah Agama

Bukan kuantiti diutamakan dalam solat terawih
SOALAN: Apakah hukumnya sembahyang terawih dengan cepat? 

JAWAPAN 

RASULULLAH s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang mendirikan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan cukup syarat-syaratnya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang lalu. (Bukhari dan Muslim) 

Mengikut hadis Rasulullah s.a.w., Allah mensyariatkan hamba-Nya supaya berpuasa pada siang hari dan bersembahyang pada malam hari. Sembahyang ini adalah untuk membersihkan dosa dan kesalahan. Tetapi yang dimaksudkan dengan sembahyang itu ialah sembahyang yang cukup syarat-syarat, rukun-rukun, adab-adab dan batasan-batasannya. Kita telah mengetahui bahawa toma’ninah itu adalah satu daripada rukun-rukun sah sembahyang sebagaimana membaca al-Fatihah, rukuk dan sujud. Rasulullah pernah berkata kepada mereka yang tidak sempurna sembahyangnya kerana tiada toma’ninah, maksudnya: Ulangi sembahyangmu kerana engkau masih lagi belum sembahyang.... Kemudian Nabi menerangkan kepadanya sembahyang yang diterima Allah: Rukuklah dengan toma’ninah, iktidal dengan toma’ninah, sujud dengan toma’ninah, sujud di antara dua sujud dengan toma’ninah dan seterusnya. 

Toma’ninah dalam semua rukun wajib dilakukan. Bagaimanapun, ulama tidak bersependapat dalam masalah selama mana had untuk toma’ninah. Sebahagiannya mengatakan hadnya sama dengan sekali tasbih seperti kata Subhana Rabbiayal A'la dan seumpamanya. Sebahagiannya pula, seperti Syeikhul Islam Ibnu Taimiah, mengatakan kadar masa toma’ninah itu ialah sekadar tiga tasbih pada rukuk dan sujud. 

Ada hadis yang mengatakan kadarnya tiga kali tasbih atau yang hampir dengannya. Oleh itu toma’ninah itu mestilah sekadar tiga kali tasbih. Allah berfirman: Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk di dalam sembahyangnya. (al-Mukminun: 1-2) 

Khusyuk itu terbahagi kepada dua jenis: 

1. Khusyuk badan 

2. Khusyuk hati 

Khusyuk badan adalah tenang tubuh badan, tidak bermain-main dan tidak berpaling-paling. Juga tidak sujud dan rukuk seperti ayam mematuk makanan. Menunaikannya hendaklah dengan cukup syarat dan rukunnya sebagaimana yang disyariatkan Allah. Khusyuk badan ini hendaklah disertai dengan khusyuk hati. 

Khusyuk hati adalah merasai kebesaran Allah, menghayati makna bacaan dalam sembahyang, mengingati akhirat dan menyedari bahawa dia bersembahyang di hadapan Allah. 

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman: Aku bahagikan sembahyang antara Aku dan hamba-Ku kepada dua: Apabila hamba-Ku berkata: Aku akan menjawab: Hamba-Ku memuji-Ku. Hamba itu berkata lagi: Aku menjawab: Hamba-Ku memuji-Ku. Dia berkata lagi: Aku menjawab: Hamba-Ku meninggikan-Ku. Apabila dia berkata: Aku menjawab: Inilah dia antara-Ku dan hamba-Ku. Hamba itu berkata lagi: Aku menjawab: Jalan ini untuk hamba-Ku. Baginyalah apa yang dipohonnya. 

Seseorang itu hendaklah menyahut seruan Allah dalam sembahyangnya dengan menghadirkan hati pada tiap-tiap rakaat dan pergerakan sembahyangnya. Jika mereka yang bersembahyang berniat hendak menyudahkan sembahyangnya dengan segera dan merasainya sebagai satu bebanan, itu bukanlah sembahyang yang dituntut. 

Kebanyakan manusia melakukan sembahyang terawih sebanyak 20 dan 23 rakaat dalam masa beberapa minit sahaja. Mereka bersembahyang seperti menyambar sesuatu dan mahu menyudahkannya secepat mungkin sehingga tidak sempurna rukuk, sujud dan khusyuknya. Amalan inilah yang telah dinyatakan dalam hadis sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Sembahyang itu akan naik ke langit dalam keadaan hitam pekat. Sembahyang itu berkata kepada tuannya: Allah telah menghilangkan engkau (pahala sembahyang) sebagaimana engkau menghilangkanku (kerana sembahyang tidak cukup syarat dan rukunnya). 

Sembahyang yang khusyuk dan tenang akan naik ke langit dengan wajah yang putih bersih. Sembahyang itu akan berkata kepada tuannya: Allah telah menjaga engkau sebagaimana engkau menjagaku. 

Saya nasihatkan kepada imam- imam dan orang yang mengerjakan sembahyang terawih yang panjang bilangan rakaatnya dengan tidak teratur, tidak khusyuk, tidak hadir hatinya dan tidak tenang badannya, eloklah mereka mengerjakan lapan rakaat sahaja dengan tenang, khusyuk serta rapi. 

Sembahyang yang sebegini lebih baik daripada sembahyang 20 rakaat yang tidak sempurna tadi. Sembahyang dikira berdasarkan kepada jenisnya dan bagaimana kita menunaikannya, berapa banyak rakaat yang dikerjakan dan dikira juga adakah sembahyangnya khusyuk atau tidak. 

Kita bermohon kepada Allah semoga Dia menggolongkan kita ke dalam kumpulan orang-orang yang mukmin dan khusyuk dalam sembahyang.

* Sumber: Dr. Yusuf al-Qardawi, Fatwa Masa kini (Terjemahan 1 & 2), Pustaka Salam Sdn. Bhd..

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Sekretariat Sudut Hukum IKIM di talian 03-6204 6219 dan 03-6204 6253 atau layari laman web www.ikim.gov.my/suduthukum.