JAKARTA, 24 Jun (Bernama) - Indonesia menghadapi demonstrasi menentang kenaikan harga minyak yang paling serius setakat ini dengan rusuhan yang mengakibatkan seorang mahasiswa dilanggar kereta polis, pagar bangunan Parlimen diroboh, polis terpaksa melepaskan tembakan dan kereta dibakar dalam insiden yang berterusan hingga petang Selasa.
Tunjuk perasaan yang sebelum ini selalu aman dan terkawal, hari ini menjadi rusuhan dengan aksi saling membaling batu antara mahasiswa dan polis sehingga polis terpaksa melepaskan tembakan air disusuli tembakan peluru getah di dua lokasi iaitu di kampus Universiti Atmajaya dan dari dalam pekarangan Parlimen.
Laman web berita myrmnews melaporkan bahawa mahasiswa yang dilanggar oleh kereta peronda polis itu yang dikenali sebagai Arpi dari Jambi kini berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di sini, manakala seorang mahasiswa lain dan seorang anggota polis juga terpaksa diberi rawatan.
Sebuah stesen televisyen sempat merakamkan dengan jelas bagaimana kereta peronda polis itu tiba-tiba membelok ke kiri dan melanggar pemuda itu yang terpelanting ke pinggir kiri jalan sehingga tidak sedarkan diri mengakibatkan rakan-rakannya marah dan membaling batu ke arah kereta polis itu yang memecut lari.
Pelbagai kelompok masyarakat terutama mahasiswa dan golongan pekerja terus menerus mengadakan demonstrasi di pelbagai ibu kota wilayah setiap hari terutama di Jakarta sejak harga minyak dinaikkan kira-kira 28 peratus oleh pemerintah pada 24 Mei, yang mereka dakwa menyebabkan 19 juta lagi keluarga rakyat Indonesia menjadi miskin.
Para mahasiswa itu memilih mengadakan tunjuk perasaan di depan bangunan Parlimen kerana Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia sedang membahaskan kesepakatan untuk menggunakan 'hak angket' iaitu hak DPR untuk meminta penjelasan pemerintah mengenai keputusan menaikkan harga minyak itu.
Mereka juga menuntut pemerintah menyiasat kematian mahasiswa Universiti Nasional di sini, Maftuh Fauzi selepas terlibat dalam pergaduhan dengan polisi di kampus minggu lepas, tetapi diisytiharkan oleh pihak hospital kematiannya berpunca dari jangkitan HIV/AIDS.
Ribuan mahasiswa dari pelbagai kampus itu merobohkan pagar besi Parlimen dan melempar batu ke arah ratusan anggota polis yang berkawal di dalam yang kemudiannya terpaksa melepas tembakan air dan peluru getah untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Laman web itu itu yang memetik beberapa saksi dari kalangan mahasiswa, melaporkan tembakan yang jelas kedengaran yang menyebabkan penunjuk perasaan bertempiaran lari, berlangsung selama kira-kira 10 minit di kampus Atmajaya.
Sehingga malam ini, kelompok-kelompok kecil mahasiswa masih kelihatan cuba menutup Jalan Sudirman-Thamrin setelah petang tadi mereka membakar sebuah kereta polis.
Ketua Wilayah Liga Mahasiswa Nasional untuk Demokrasi (LMND) Jakarta, Bilal Muhammad memberitahu BERNAMA di depan pagar parlimen bahawa mahasiswa akan terus melaksanakan apa juga langkah sehingga pemerintah Indonesia membatalkan kenaikan harga minyak.
-- BERNAMA