My Blog List

Friday, February 20, 2009

SIDANG MEDIA SPEAKER DUN PERAK 11pm 19 FEBRUARI

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, YB V Sivakumar telah mengadakan sidang media di kediaman Menteri Besar Perak pada jam 11.00 malam tadi. Berikut adalah sebahagian daripada kenyataan tersebut: 



Salam sejahtera. Pada malam ini saya ingin menerangkan kedudukan saya selaku Speaker Dewan Undangan Negeri Perak dan kenapa saya terpaksa mengambil keputusan sepertimana yang telah saya buat semalam. 



Perkara asasnya adalah berkaitan dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak iaitu berkaitan dengan Fasal 16(6). Pentafsiran Fasal ini telah menjadi satu pertikaian pada perkataan atau ayat “sekiranya Menteri Besar itu terhenti daripada mendapat kepercayaan …”. Jika kita perhatikan dengan teliti, perkataan “Menteri Besar” dalam Fasal ini sebenarnya merujuk kepada Menteri Besar “pada masa itu”. Ketika Dato' Seri Nizar mengadap DYMM Tuanku Sultan, dia adalah seorang Menteri Besar yang telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Perhimpunan Undangan atau Dewan Undangan Negeri selepas pilihanraya ke 12.




Fasal itu juga memperuntukkan “hendaklah ia” yang dengan jelas merujuk kepada Menteri Besar yang ada pada masa itu iaitu Dato' Seri Nizar. Oleh itu, yang layak untuk mengadap DYMM Tuanku Sultan ialah Dato' Seri Nizar. Selain daripada Menteri Besar yang sedang dalam perkhidmatannya, tiada sesiapa pun yang mempunyai hak untuk mengadap DYMM Tuanku Sultan bagi maksud Fasal itu.




Sekarang timbul satu lagi masalah atau krisis perlembagaan. Saya adalah ketua legislative iaitu ketua badan perundangan negeri Perak. Persoalan mengenai hak seperti yang saya nyatakan tadi telah dirujuk kepada saya. Maka apa yang perlu saya lakukan? Saya telah menerima aduan bersurat daripada YB Wong Kah Woh iaitu ADUN Canning Garden. Surat itu menyatakan bahawa masalah yang telah berlaku adalah in house problem, state assembly problem. Ia perlu diselesaikan di peringkat kuasa Dewan Undangan Negeri itu sendiri. Oleh itu saya sebagai Ketua Dewan Undangan Negeri bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Ini adalah beban yang perlu saya pikul. Ini adalah kewajiban saya. Rakyat telah bertanya, dan banyak pihak lagi yang akan mempersoalkan saya sebagai ketua legislative. Apakah tindakan yang telah saya ambil? Maka saya tidak ada pilihan lain. Saya terpaksa mengikut peraturan. 




Apabila saya terima surat aduan daripada YB Wong Kah Woh, saya terpaksa bertindak. Saya telah membawa surat itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN. Jawatankuasa ini telah berbincang dan kami dapati memang wujud kes prima facie dalam isu yang dibangkitkan. Maka jawatankuasa itu telah membuat keputusan untuk memanggil YB Dato' Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam orang YB yang lain untuk berjumpa dengan jawatankuasa tersebut. Dalam perjumpaan yang berlangsung semalam, memang jelas bahawa tujuh ADUN itu telah melakukan kesalahan mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Mesyuarat bertanggungjawab membuat satu keputusan, kerana kes ini merupakan isu yang amat serius. Demi mempertahankan badan perundangan negeri ini, kami tidak ada pilihan lain kecuali membuat satu keputusan yang terbaik untuk menegakkan keadilan dan kedaulatan badan perundangan di negara kita, terutamanya negeri Perak yang kita cintai ini. 




Masalah yang dibangkitkan oleh banyak pihak kepada saya ialah persoalan peruntukan manakah di dalam Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang menyatakan “orang atau pihak yang tiba-tiba mendapat majoriti di Dewan Undangan Negeri, boleh atau hendaklah mengadap DYMM Tuanku Sultan untuk mohon membentuk kerajaan”? Sebenarnya tidak ada mana-mana peruntukan yang menyatakan begitu. Undang-Undang Tubuh Negeri Perak menyatakan Menteri Besar yang sedang dalam mandat pada satu-satu masa itu, jika mendapati majoritinya dalam Dewan Undangan Negeri telah hilang, maka adalah tanggungjawabnya (Menteri Besar yang sedang dalam mandat itu) untuk mengadap DYMM Tuanku Sultan dan boleh memohon supaya dewan dibubarkan. 




Saya tidak mempertikaikan bahawa Tuanku mempunyai kuasa untuk tidak memperkenankan pembubaran DUN sekiranya sidang DUN telah meluluskan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar. Tetapi oleh kerana perkara ini tidak dibincangkan dalam sidang DUN maka ia menjadi isu. Sekarang masalah itu terbeban ke atas saya selaku Speaker DUN apabila ada ADUN yang merujuk kepada saya. Orang ramai pun bertanya dan merujuk kepada saya. Apakah tindakan Speaker?




Kes ini adalah soal dalaman Dewan Undangan Negeri. Seperti masalah dalaman rumahtangga, ketua keluarga perlu menyelesaikannya. Lebih-lebih lagi apabila ini adalah hal ehwal badan perundangan negeri yang melibatkan kepentingan seluruh rakyat negeri ini. Sebagai ketua legislative, saya perlu memberi perhatian dan menjalankan tanggungjawab saya supaya keadilan dapat ditegakkan dan kedaulatan undang-undang terjamin. Itu adalah tugas saya. Itu juga adalah tanggungjawab saya. Saya tidak bertindak melebihi bidang kuasa saya seperti termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Saya hanya menjalankan tugas supaya kedaulatan badan perundangan negeri Perak tidak dicabuli. Itu saja.




Saya tidak berniat untuk menderhaka. Isu itu sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu kerana kepentingan politik. Ia juga diputarbelit oleh media perdana dan kumpulan tertentu yang mahukan rakyat menghukum saya sebagai penderhaka kepada DYMM Tuanku. Tuduhan itu adalah tidak benar. Mereka cuba mempolitikkan isu ini. Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak mempunyai sebarang intention untuk menderhaka. Saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai Speaker setelah mendapati perkara ini adalah perkara yang serius dan saya mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikannya.




Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN bukannya menggantung YB Ahli-Ahli DUN tersebut daripada menjadi ADUN. Tidak begitu. Saya bersama Jawatankuasa itu hanya menggantung mereka daripada menghadiri sidang DUN. Itu saja.




Mengenai kelayakan mereka sebagai ADUN, saya tidak sentuh langsung. Tiada kenyataan saya berkenan status mereka sebagai wakil rakyat atau ADUN bagi kawasan masing-masing. Itu saja yang perlu saya beritahu kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Perak. Apa yang saya lakukan ini adalah mengikut Fasal 16(6) Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan ianya dilakukan demi kedaulatan undang-undang supaya institusi dan badan perundangan ini tidak dicemari oleh mana-mana pihak.




Sekian terima kasih.