My Blog List

Saturday, September 6, 2008

Ramlang berdepan tindakan disiplin

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi bakal dikenakan tindakan disiplin kerana terbabit secara langsung dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh baru- baru ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali berkata, pihaknya sedang meneliti bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap imam berkenaan kerana melanggar etika tugas dengan terbabit dalam politik.

"Saya akan lihat prosedur kerajaan yang sesuai sebelum tindakan dapat diambil," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas bila dan apakah bentuk tindakan yang akan diambil terhadap Ramlang.

"Saya akan buat kenyataan lengkap kemudian nanti," katanya.

Ramlang merupakan imam yang menyaksikan Mohd. Saiful Bukhari Azlan melafazkan sumpah laknat membabitkan dakwaan liwat ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Ogos lalu.

Ramlang kemudiannya mencetuskan kontroversi apabila muncul di atas pentas politik ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh dengan mendakwa telah 'dipaksa' dan diarahkan oleh 'orang atasannya' menjadi saksi Mohd. Saiful.