‘Implikasi besar jika harga minyak turun mendadak’
BUKIT MERTAJAM 23 Ogos – Cadangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak sehingga RM2 seliter jika menerajui kerajaan tidak praktikal.
Ahli Parlimen Gua Musang yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, jika harga minyak diturunkan secara mendadak dalam jumlah yang besar maka ia akan menimbulkan implikasi besar apabila harga minyak mentah dunia kembali meningkat dalam tempoh terdekat ini.
“Siapa yang akan menanggung beban berat akibat penurunan harga minyak dengan banyak itu? Sepatutnya kita menunaikan tanggungjawab secara berprinsip, bukan bercakap sesuka hati untuk menjadi popular.
‘‘Semua orang boleh membuat cadangan untuk menurunkan harga minyak tetapi kerajaan perlu menunaikan tanggungjawab kepada rakyat dan berhati-hati terhadap kesannya kerana ia akan mempengaruhi harga barang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat Datuk Arif Shah Omar Shah di rumahnya di Jalan Tenggiri di sini hari ini.
Anwar sebelum ini, membuat tawaran lebih manis dengan menjanjikan harga bahan bakar itu pada RM2 seliter.
Ditanya adakah kerajaan menurunkan harga minyak disebabkan pilihan raya kecil Permatang Pauh, beliau berkata, tiada salahnya jika itu tujuan kerajaan.
‘‘Ini menunjukkan kerajaan betul-betul nak menolong rakyat. Buat apa kita perlu menunggu hingga 1 September sedangkan kita boleh melakukan sekarang,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan Anwar bahawa 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan melompat parti, Tengku Razaleigh memberitahu, tidak mungkin mereka akan berbuat demikian kerana pemilihan mereka dilakukan oleh parti (BN) sebagai calon pada pilihan raya umum lalu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment